Instagram

Tuesday, April 7, 2009

Cerpen : Mawar Itu Milik Adam

“Kriinggg..!!!”

Loceng pertama persekolan berbunyi. Seperti biasa Khairul Adam menuju ke pintu pagar utama sekolah untuk menahan pelajar yang lewat ke sekolah. Begitulah rutin sehariannya setiap pagi di sekolah sebagai pengawas, menahan pelajar lewat, menulis nama mereka dan merekod di dalam buku disiplin pelajar. Dan seperti biasa juga, Mawar Annisa’, pelajar baru Tingkatan 5 Amanah adalah antara pelajar yang terkenal dalam kalangan pengawas serta guru disiplin kerana sering lewat ke sekolah atas alasan bangun lewat atau pemandunya bercuti. Maklumlah anak perempuan bongsu usahawan terkenal, Encik Ahmad Safwan dan Puan Maria. Manja dan keras kepala.

“Assalamualaikum, pemandu awak bercuti ke mana pula kali ini?”soal Adam tegas sambil mengeluarkan buku catatan dari kocek bajunya.

Kalau nak catat, catat sajalah. Tak perlu banyak soal. Macam tak biasa pula.”balas Mawar penuh sebal. ‘Macamlah tak ada pengawas lain yang jaga pintu pagar ini. Muka dia saja. Huh!’gerutu hati kecil Mawar yang sering ditegur oleh pengawas itu.

Sekurang-kurangnya salam saya biarlah berjawab. Lain kali kalau awak datang lewat lagi, pihak disiplin akan beri surat amaran kedua. Awak mungkin akan digantung sekolah.”sambung Adam. “Berilah surat apa pun. Asalkan awak bahagia.”Mawar berlalu dengan perasaan geram. Geram kerana asyik ditegur oleh Adam, geram juga kerana pemandunya yang selalu lewat menjemputnya di rumah kerana tinggal di rumah sewa sendiri, tidak seperti pemandu-pemandu majikan lain yang tinggal serumah dengan majikan.

Suasana kelas yang hingar-bingar mulai reda selepas kehadiran Ustazah Syarifah. Mawar masih dengan muka masamnya duduk di sebelah Farhah, teman baiknya sejak dia memasuki sekolah itu. Walaupun penampilan Farhah yang bertudung litup dan bersopan santun itu berbeza benar dengan dirinya, dia merasakan hanya Farhah saja sahabatnya di situ. Pelajar lain tidak begitu gemar bergaul dengan dirinya kerana tidak mengenakan tudung sekolah seperti pelajar lain dan kurang peramah.

Baiklah pelajar, hari ini kita akan membincangkan tajuk Kepentingan Menjaga Agama, sambungan dari subtopic yang lepas, ada apa-apa soalan?”Ustazah Syarifah memulakan pengajaran. “Ustazah, apa hukumnya seseorang Islam yang sudah mencapai akil baligh tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna?”soal Adam sambil menjeling ke arah Mawar di barisan kedua dari hadapan. Mawar tersentak dengan pertanyaan itu. Dia tahu soalan itu diajukan untuk menyindir dirinya kerana cuma dia satu-satunya pelajar yang tidak bertudung dan menutup aurat di dalam kelas itu.

Walaupun mengambil aliran agama iaitu subjek tambahan Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah serta Al-Quran dan As-Sunnah, dia telah terbiasa dengan gaya hidup modennya yang tidak bertudung itu. Bukannya tidak pernah ditegur oleh ibu bapanya, tetapi Mawar masih belum biasa untuk bertudung. Farhah juga tidak jemu menasihatinya tetapi Mawar tetap tidak berubah.

“Hukumnya haram, dan mereka yang telah mengetahui akan hukum tidak menutup aurat tetapi masih melakukannya, dia boleh mendapat dosa.
”jelas Ustazah Syarifah. Mawar hanya tunduk malu. Farhah pula cuma diam membisu.

Farhah, aku tak fahamlah dengan Adam tu. Tak habis-habis nak kenakan aku di dalam kelas. Apalah salah aku pada dia sampai macam tu sekali dia malukan aku dalam kelas!”Mawar melepaskan geramnya pada Farhah.

Dia buat macam tu sebab nak menegur kau secara halus. Tak salah apa yang dia buat. Cuma caranya saja memang menyakitkan hati. Tapi untuk kebaikan kau juga Mawar. Kau rasalah, kenapa dengan kau saja dia buat macam tu? Entah-entah, dia sukakan kau tak?”duga Farhah sambil ketawa.

Khairul Adam tu suka pada aku? Kau ni buta agaknya Far. Paling-paling pun Adam tu pandang aku sebelah mata je. Aku pun tak pernah terfikir untuk suka kat dia. Huh! Menyakitkan hati je.”bentak Mawar.

haha..apalah kau ni Mawar. Aku gurau pun kau nak ambil serius. Eh, kau masuk pemilihan bola keranjang petang ini ya? Boleh aku ikut kau? Sekurang-kurangnya aku nak tengok juga skill kau bermain nanti. Almaklumlah, kau kan pelajar baru sekolah ini. Pasti ramai yang datang tengok pemilihan petang ni.”kata Farhah. Mawar tersenyum seraya berkata,”Bagus juga kau nak datang. Doakanlah aku terpilih ya! Sekurang-kurangnya aku taklah keseorangan petang ini.

Mawar mengenakan seluar track panjang serta baju sukan berkolar lengan pendek pada pemilihan petang itu. Adam dan Lucas, rakannya yang berketurunan Melayu Sabah turut hadir ke pemilihan petang itu. Adam datang hanya untuk menemani Lucas yang menyertai pemilihan bola keranjang kategori lelaki. Pemilihan petang itu dimulakan dengan peserta perempuan, sepanjang perlawanan itu, Adam hanya beristighfar panjang melihat Mawar yang begitu asyik bermain tanpa menghiraukan auratnya. Adam tidak tahu mengapa hati Mawar begitu keras untuk dilenturkan. Malah setiap kali Adam menasihatinya, Mawar sering marah-marah. Bagi Adam, sesama Islam sudah menjadi tanggungjawab baginya untuk menegur perbuatan yang salah. Tapi bagi Mawar pula, Adam sudah cukup buat dirinya sebal saban hari di sekolah itu.

Keputusan pemilihan diumumkan di perhimpunan pagi keesokan harinya. Hati Mawar berbunga riang tatkala namanya diumumkan sebagai kapten pasukan bola keranjang perempuan kerana corak permainannya yang memikat hati juri. Adam pula tersenyum sendirian melihat kegembiraan Mawar tika itu, ‘awal pula dia datang hari ini’. Ujar hati kecil Adam. Entah mengapa, setiap kali melihat senyuman gadis itu hatinya merasa tenang. Cuma sayangnya, Mawar bukanlah cirri-ciri wanita kesukaannya. Adam lebih mendambakan wanita solehah yang boleh membimbing dia ke arah kebaikan.

Sejak hari itu, Mawar sering menghadiri latihan pada waktu petang untuk persediaan menghadapi perlawanan peringkat zon tidak kurang dua bulan lagi. Namun, Mawar juga tidak lupa untuk mengulangkaji pelajarannya bersama-sama Farhah pada waktu malam. Dia sering mengajak Farhah ke rumahnya, Farhah juga tidak menolak kerana jarak rumah mereka yang dekat. Mereka berdua sering belajar bersama memandangkan peperiksaan SPM kian dekat.

Perlawanan bola keranjang akan diadakan seminggu sahaja lagi. Mawar pula semakin aktif dengan latihan bersama anak buahnya. Pada suatu petang, Adam datang ke sekolah bersama Lucas untuk menyaksikan latihan bola keranjang. Adam bersendirian di tepi padang tatkala Lucas sibuk dengan latihannya. Sambil itu dia menelaah pelajarannya. Kadang-kala dia melihat permainan Mawar, tatkala itu hatinya berdetik, ‘mengapalah kau ni keras kepala sangat? Susah sangatkah ingin mengenakan tudung?’

Mawar berasa tidak selesa apabila mendapati dirinya seperti direnung dari jauh. Lantas dia berhenti bermain dan menoleh ke kiri. ‘Apa pula mamat tu buat di situ? Pandang-pandang aku pula, adalah yang nak ditegur tu.’dengus Mawar. Mawar meneruskan permainannya, secara tidak sengaja, Liana, salah seorang anak buahnya tersinggung Mawar dengan kuat. Mawar tidak dapat mengimbangi badannya lalu tersungkur ke tanah. “Aduh, sakitnya kepala aku!”jerit Mawar tatkala dahinya mencium tanah. Darah. Mawar meraba dahinya yang melekit. Dahinya berdarah. Adam yang sejak tadi memerhatikannya lantas berlari mendatangi kumpulan pelajar yang mula mengerumuni Mawar.

Apa halnya ni?”Tanya Adam. “Dia jatuh bang, kepalanya terhantuk pada lantai dan berdarah." Adam berasa cemas. Dia seterusnya bertanya pada Mawar yang masih lagi terduduk memegang kepalanya. “Awak okaykah Mawar?

Kau nampak aku macam okaykah? Sakitnya kepala aku!” balas Mawar sambil meraba-raba dahinya. Lantas Adam mengeluarkan sapu tangan dari kocek seluarnya dan menyerahkan pada Mawar seraya berkata, “Ambil ni, tekapkan pada dahi awak yang berdarah itu. Saya pergi panggil cikgu.”Adam berlalu pergi meninggalkan mereka. Mawar berasa malu sendiri dengan tindakan kasarnya pada Adam. Farhah yang ada di situ mulai merasa sesuatu yang tidak kena pada Adam dan Mawar.

Keesokan harinya, Mawar tidak hadir ke sekolah. Adam yang sedar ketidakhadiran Mawar itu segera bertanya pada Farhah. “Far, teruk sangatkah keadaan Mawar sampai tak datang sekolah?” Farhah tersenyum dan berkata, “Jangan risaulah Adam, dia tak apa-apa. Cuma dia malas nak ke sekolah hari ini.” ‘Manja betul perempuan tu’cebik Adam dalam hati. Sesungguhnya dia sebenarnya agak risau sekiranya kecederaan Mawar berlarutan.

Seminggu berlalu tetapi Mawar masih tidak muncul-muncul. Adam mulai gelisah. “Dah seminggu dia tak datang sekolah, apa masalahnya? Entah-entah dia pindah sekolah tak?”soal Adam sendirian ketika berehat di gazebo di sekolah. “Kau rindu diakah Adam?hahaha!”sergah Lucas yang sudah lama memerhatikan kawannya yang sejak tadi asyik mengelamun. “Eh Luke, kau ni tak reti beri salam? Main sergah je, nasib baiklah aku ni tak ada sakit jantung.”marah Adam. “Assalamualaikum Encik Adam. Hahaha! Kau ni dah tiga kali aku beri salam tak berjawab. Dah sampai ke Chinakah?”senda Lucas menyakat Adam. “Iakah? Maaflah aku tak perasan.” Kata Adam jujur. “macam mana nak perasan. Asyik teringatkan Mawar Berduri yang dah seminggu tak muncul.” Sakat Lucas lagi.

Adam diam membisu. Apa yang dikatakan Lucas memang benar. Dia asyik memikirkan gadis itu. “Eh, kau dah makan ke belum? Kalau belum jom makan, aku dah lapar ni.”kata Adam mengubah topic perbualan. “marilah, aku pun lapar tengok muka kau yang tak habis-habis mengelamun ni

Malam itu Mawar tidak dapat melelapkan mata. Entah mengapa sejak kejadian di padang seminggi lalu, dia berasa tidak tenang. Dia sering merasa sesuatu yang kosong dalam dirinya. Kadang-kala fikirannya bercelaru, hatinya berasa sedih sehinggakan dia tidak lalu untuk menjamah sebarang makanan pun. Encik Ahmad Safwan dan Puan Maria merasa aneh dengan perubahan anak bongsu mereka itu. Sudahlah seminggu tak mahu ke sekolah, asyik terperuk dalam bilik 24 jam.

Boleh mama masuk?”Puan Maria bersuara dari luar kamar Mawar seraya mengetuk pintu beberapa kali. “Masuklah ma, pintu tak berkunci.”jawab Mawar dari dalam. “Anak mama ni kenapa? Ke sekolah tak nak, makan pun tak nak. Risau mama tengok Mawar macam ni.”pujuk Puan Maria seraya mengusap ubun-ubun Mawar. Lembut.

Mama, belikan Mawar tudung ya.”ungkapan Mawar ibarat halilintar menyambar bumi. Puan Maria terkejut dengan permintaan anak gadisnya. Lantas dia berkata, “Mama tak salah dengar ni sayang?” “Mawar nak pergi sekolah esok. Dengan baju kurung. Bertudung. Macam Farhah. Boleh kan ma?”ungkap Mawar satu- persatu. Hati ibu mana yang tidak gembira melihat perubahan anak gadis yang sering diharapkan agar mengikut batas-batas Islam sebenar. Malam itu juga, Puan Maria membawa Mawar ke pusat membeli-belah untuk membeli tudung sekolah serta tudung-tudung untuk dipakai ketika keluar dari rumah. Dan malam itu juga Mawar mengenakan tudung mamanya untuk keluar. Encik Ahmad Safwan dan Puan Maria amat gembira dengan perubahan anaknya.

Pagi itu Mawar datang awal ke sekolah tidak seperti kebiasaannya. Farhah yang masuk ke kelas sedikit kaget tatkala melihat seorang pelajar perempuan duduk di sebelah tempatnya iaitu tempat Mawar. Lantas Farhah bertanya, “Awak pelajar baru? Maaflah tapi tempat ini dah ada orang sebelum ini.” Pelajar itu menoleh ke arah Farhah sambil tersenyum. “Ya Allah, kau Mawar? Cantiknya kau!”Farhah terkejut melihat wajah ayu Mawar yang bertudung. Dia kelihatan begitu cantik sekali.

“Krriiinnggg”

Loceng rehat berbunyi. “Far, kau pergi ke kantin dulu ya. Aku nak ke perpustakaan kejap. Pulangkan buku.”kata Mawar kepada Farhah. “Baiklah, jangan lama-lama ya. Aku tunggu kau di kantin.”jawab Farhah lalu menuju ke kantin.

Adam khusyuk menelaah pelajaran tanpa menghiraukan keadaan perpustakaan yang sememangnya sunyi itu. Penat membaca, dia berdiri untuk membetulkan pinggangnya yang mulai lenguh kerana duduk terlalu lama. Tiba-tiba matanya tertumpu pada sesusuk tubuh yang baru masuk ke perpustakaan itu. Seorang pelajar perempuan yang dikenalinya. ‘Ah, tak mungkin dia.’desis hati Adam.

Assalamualaikum. Maaf saya mengganggu. Saya nak pulangkan barang awak.”satu suara memberi salam. Sambil berpaling, Adam menjawab salam itu. “Waalaikumus……..salam…..Mawar?!”Adam kaget melihat Mawar di hadapannya. Bertudung. “Maaf kalau saya mengganggu. Nah, barang awak. Saya pergi dulu.”ucap Mawar seraya berlalu meninggalkan Adam terpinga-pinga sendirian.

Tunggu!!”jerit Adam. “Shhh..!!!”tegur seorang pelajar yang sedang membaca di dalam perpustakan itu. “Maaf.”Adam menjawab pendek lalu berlari keluar ingin mengejar Mawar. “Mawar, tunggu!”jeritnya sekali lagi sebaik terlihat Mawar sedang membetulkan tali kasutnya. “ya? Ada apa? Ouh ya, maaflah terlewat pulangkan sapu tangan tu. Saya pergi dulu.”kata Mawar. “Mawar, tunggu dulu. Em….Mana awak pergi? Hm…Dah lama awak tak….tak datang sekolah. Saya ingat awak dah pindah.”ungkap Adam. Gugup. Entah mengapa debarannya kian kencang tika itu. “Saya ada hal. Maaf. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”Mawar pergi meninggalkan Adam yang masih terpinga-pinga itu. “Maw…hm..Waalaikumussalam.”ucap Adam perlahan-lahan. Sesungguhnya hati Adam amat tenang melihat wajah itu. Wajah yang selalu dia tunggu sejak seminggu lalu. Wajah yang kian buat hatinya tertarik. Itu lah Mawar Annisa’.

Dengan keadaan yang masih terkejut dengan perubahan Mawar, Adam meninggalkan perpustakaan apabila loceng tamat waktu rehat berbunyi. Sesampainya di kelas, riuh kedengaran suara rakan sekelasnya mengerumuni Mawar Annisa’. Mereka seperti Adam, terkejut dengan perubahan Mawar setelah seminggu menghilang. Adam hanya mampu tersenyum. Hatinya berbunga riang kini. Wajah yang selalu dinanti-nanti kini muncul dengan imej wanita Islam yang sebenar. Jauh di sudut hatinya dia bersyukur kepada Allah SWT kerana membuka jalan terang buat Mawar untuk mengubah penampilannya. Penampilan yang lebih sopan dan menutup aurat, seperti yang telah disyariatkan dalam Islam. Adam bersyukur.

“Kriinnggg!!!”

Loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan pada hari itu. Adam hanya termenung di dalam kelas sedangkan pelajar lain sudah berpusu-pusu keluar dari sekolah. Dia bercadang untuk pulang lewat sedikit untuk menyiapkan tugasan pengawas. Matanya meliar di dalam kelas mencari kelibat Mawar. Ternyata Mawar sudahpun pulang. Cuma dia sahaja yang berada dalam kelas itu kini. ‘Ah, baik aku pergi solat dulu. Zuhur pun dah masuk ni.’bisik hati kecil Adam. Dalam doanya, Adam mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas perubahan Mawar. Entah mengapa dia merasa begitu tenang saat Mawar mengucapkan salam di awal pertemuan mereka tadi.

Selesai bersolat dia kembali ke kelas. Ingin menyambung tugasannya. Tiba-tiba dia terlihat sekeping kertas di bawah mejanya. Kemas terlipat beserta sekuntum mawar di atasnya. ‘Eh, tadi tak ada pun kat sini. Siapa pula yang letak?’ getus hati Adam. Lantas dia membuka kertas tersebut. Dia membaca isi surat tersebut sambil memegang mawar itu.

“Assalamualaikum, saya ingin memohon maaf pada awak sebab selama saya di sekolah ini, tak pernah sekali pun saya bercakap sopan dengan awak. Tapi awak selalu nasihat saya. Walaupun saya tak nak dengar, awak tetap teruskan nasihat awak. Awak tak pernah berhenti menegur setiap kesalahan saya. Kadang-kadang saya terfikir apa tujuan awak sebenarnya, suka mencari kesalahan saya.

Masa berlalu, saban hari saya rasa makin tersisih, saya sakit hati tengok awak ramai kawan. Sedangkan saya cuma ada Farhah. Sahabat saya satu-satunya sejak saya masuk sekolah ni. Selalu saya anggap awak nak malukan saya, buli pelajar baru macam saya. Tapi saya salah. Teguran awak saya anggap remeh. Nasihat awak berlalu macam tu saja. Saya tak pernah pandang tinggi pada awak walaupun ramai kawan-kawan kata awak baik, awak pengawas yang adil. Tapi bagi saya, awak cuma mengganggu masa senang saya ketika di sekolah.

Tapi, satu hari, sewaktu di padang, awak mesti ingatkan? Saya jatuh ketika latihan, kepala saya berdarah. Awak datang pada saya dan tanya keadaan saya. Tapi saya balas dengan kasar. Awak tak kisah pun. Awak hulur sapu tangan awak. Awak suruh saya tahan darah di kepala saya, dengan sapu tangan awak. Awak berlari pergi panggil cikgu, sampailah saya dibawa ke klinik. Sampai di klinik pun awak telefon cikgu untuk tanya keadaan saya. Masa tu, saya menangis. Bukan kerana sakit. Tapi kerana awak. Saya tak pasti kenapa saya perlu menangis kerana awak. Sampai di rumah, saya teringat pada awak.

Lama saya fikirkan kejadian tu, sampai saya tak ada daya nak buat apa-apa. Saya rasa bersalah sangat dengan awak. Dari mula saya sampai di sekolah ni, muka awaklah saya nampak dulu. Muka awaklah yang paling saya benci. Saya selalu melawan cakap awak. Saya selalu memperlekeh kata-kata nasihat awak. Saya selalu bersangka buruk pada awak. Sampaikan kebaikan yang awak buat pun saya nampak buruk. Tapi awak tak pernah tengking saya, walaupun awak tegas. Tak pernah awak burukkan saya, tapi menegur saya. Tak pernah awak kutuk saya, awak selalu beri saya peluang untuk berikan pendapat saya walaupun pendapat saya tu salah. Dan awak dah tolong saya masa saya susah.

Saya tahu maaf saja tak cukup untuk menebus kesalahan saya pada awak. Saya harap awak sudi maafkan saya. Dan jangan serik menasihati saya lagi. Perubahan yang awak nampak dalam diri saya hari ini, semua kerana nasihat awak. Saya terfikir, kenapa saya perlu melalui jalan yang menyimpang dengan ajaran Islam sebenarnya sedangkan saya boleh berubah? Kata-kata awak terngiang-ngiang di telinga saya, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ia mengubah nasib kaumnya sendiri.”

Bukan saya tak pernah dengar ayat ini. Tapi sejak kejadian petang tu, ayat ni banyak mengubah saya. Saya malu dengan diri saya sendiri. Tapi sekarang, saya tahu. Saya berubah lillahi ta’ala. Saya nak merasa kemanisan iman tu sendiri. Saya harap awak boleh bantu saya. Mawar ini saya berikan buat awak agar awak sudi maafkan saya, dan takkan berhenti menasihati saya. Kerana awak saya dapat merasa tenang sekarang. Saya tak berhenti bersyukur pada Allah kerana dipertemukan dengan insan beriman macam awak.

Saya berikan mawar plastik ini, kerana ia takkan mati sama seperti ingatan saya pada awak, takkan mati selagi mawar ini terus mekar. Terima kasih atas segalanya.

Salam maaf dari saya,

Mawar Annisa’


Menitis airmata jernih dari kelopak mata Adam tatkala membaca warkah dari Mawar itu. Lantas dia mengucap syukur kepada Allah. Dipertemukan dengan gadis seperti Mawar Annisa’ ibarat anugerah buat Adam. Dia seterusnya berazam akan terus menanti Mawar menerima cinta suci darinya.

Tujuh bulan berlalu dengan pantas. Selama itu Adam dan Mawar semakin jarang bertemu, malah menelefon pun tidak pernah. Dua minggu lagi keputusan SPM akan keluar. Mawar Annisa’ tidak putus-putus berdoa dan solat hajat kepada Yang Maha Esa agar dikurniakan keputusan yang cemerlang. Dia begitu ingin sekali melanjutkan pelajaran di bumi anbiyaa’. Universiti Al-Azhar, Kaherah. Universiti yang menjadi idamannya sejak dulu. Begitu juga Adam, tidak berhenti berdoa agar mendapat keputusan cemerlang.

Hari ini keputusan SPM akan dikeluarkan. Farhah dan Mawar beriringan ke sekolah bersama-sama. Segala penat lelah belajar bersama-sama, kini Farhah dan Mawar ingin berkongsi kejayaan mereka bersama-sama. Begitu juga Adam dan Lucas yang telah lama menanti di dewan besar SMK Saujana Impian. Para pelajar sudah mulai memenuhi dewan tersebut untuk menanti keputusan mereka. Pengetua sekolah sudah ada di atas pentas bersama-sama slip keputusan pelajar-pelajar yang memperoleh kesemua A1 dalam SPM seperti tahun-tahun sebelumnya.

Assalamalaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur dan syabas kepada anak-anak di hadapan saya ini kerana buat kedua kalinya sekolah kita mendapat kedudukan pertama antara sekolah-sekolah di daerah ini dengan memperoleh keputusan terbaik secara keseluruhan.” Pengetua memulakan bicara. Kedengaran tepukan gemuruh menggegarkan dewan tersebut.“Sekarang saya dengan berbesar hati mengumumkan keputusan terbaik SPM pada tahun ini, dengan keputusan 12A1 dan 1A2, saya mempersilakan, Khairul Adam bin Khairul Amran naik ke pentas untuk menerima slip SPM beliau sekali gus menjadi Tokoh Pelajar Terbaik SPM pada tahun ini.” Ucapan pengetua sekaligus disambut dengan tepukan gemuruh para pelajar. Khairul Adam mengucapkan syukur kepada Allah, dia tidak menyangka namanya akan diumukan dahulu sebagai pelajar terbaik pada tahun ini. Dia naik ke atas pentas dan menerima keputusan SPM tersebut dengan linangan airmata. Ternyata usahanya selama ini membuahkan hasil yang lumayan.

Saya juga dengan berbesar hati mengumumkan nama-nama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu Lucas Muhammad Lathfi bin Abdullah Liew dengan keputusan 11A1 dan 2A2, Amirah Farhah binti Ahmad Mukhtar dengan keputusan 11A1 dan 2A2, Mawar Annisa’ binti Ahmad Safwan dengan keputusan 11A1 dan 2A2 juga, Nurul Iman binti Abdullah dengan keputusan 11A1, Muhammad Hafiz bin Muhammad Amin, 10A1 1A2, Syarifah Nadiah binti Syed Azhfar,10A1….”pengetua meneruskan ucapan beliau. Mawar menangis kegembiraan tatkala namanya diumukan sebagai pelajar cemerlang. Setelah mengambil keputusan, Mawar lantas menelefon kedua orang tuanya untuk memberitahu berita gembira itu. Encik Ahmad Safwan dan Puan Maria berjanji akan sampai di sekolah dengan secepat mungkin. Mawar dan Farhah berpelukan dan menangisi kejayaan mereka bersama.

Anak mama!!!”teriak Puan Maria sebaik terlihat kelibat Mawar di celah-celah pelajar di dewan itu. “Mama, Mawar berjaya ma..! Papa, Mawardapat13A! Alhamdulillah!”Mawar memeluk kedua orang tuanya itu. Mereka tiga beranak berpelukan meraikan kejayaan Mawar Annisa’. Tanpa disedari, ada mata yang memerhatikan mereka. “Mama, boleh mama izinkan Mawar di sini lama sikit? Mawar ingin berkongsi kejayaan ini dengan Farhah dan kawan-kawan Mawar. Boleh, ma?”pinta Mawar. “Pergilah, raikanlah kejayaan Mawar ini, ia milik Mawar, sayang.”kata mama sambil mengucup pipi anak bongsunya itu.

Assalamualaikum, Mawar. Tahniah atas kejayaan awak. Alhamdulillah akhirnya usaha kita semua selama ini membuahkan hasil.”lembut suara Adam menyapa Mawar. Farhah, Lucas, Adam dan Mawar saling menyapa dan tersenyum. “Terima kasih, Adam. Tahniah juga kepada awak. Saya dan Farhah bercadang nak melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Farhah dalam jurusan Usuluddin dan saya fikir saya ingin menceburi bidang Syariah. Awak dan Lucas pula bagaimana?”ujar Mawar lembut. “Kalau begitu, kita pasti bertemu lagi di Timur Tengah, saya meminati jurusan Syariah begitu juga Lucas, kan?”kata Adam sambil memandang Lucas. Mereka tersenyum.

Saya pulang dulu ya, saya belum beritahu ibu tentang keputusan saya.”kata Farhah mencelah. “Saya juga belum menelefon mak saya. Excuse me.”sambung Lucas pula. Mereka pergi meninggalkan Mawar dan Adam.

Mawar, nah.”kata Adam sambil menghulurkan sesuatu kepada Mawar. “Kenapa awak beri saya? Awak tak sudi terima pemberian sayakah?”soal Mawar penuh tanda tanya.

Mawar ini takkan mati sepertimana ingatan saya terhadap awak. Takkan mati selagi mekarnya mawar ini. Saya berikan pada awak mawar yang sama rupa, bentuk dan warna. Pemberian awak masih saya simpan elok di rumah. Ini untuk awak. Dan awak adalah Mawar saya. Mawar milik seorang Adam.”luah Adam penuh yakin. Mawar terharu dengan kata-kata Adam. Benar. Mawar itu akan sentiasa mekar semekar kasihnya pada seorang Adam yang telah banyak mengubah corak hidupnya. Mawar tersenyum dalam linangan airmata. Airmata kegembiraan.

Tiga tahun berlalu, Adam dan Mawar telahpun memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STAM) dan ditawarkan biasiswa pelajaran di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Mereka bakal menuntut di universiti yang sama, dalam bidang yang sama juga.

Sebelum berangkat ke Kaherah, Mawar dan Adam selamat diijabkabulkan dengan penuh keberkatan. Hujan rahmat mengiringi lafaz akad oleh Khairul Adam yang menerima Mawar Annisa’ sebagai teman hidupnya. Mereka yang menghadiri majlis pernikahan tersebut mengucap syukur setelah selesai Imam membacakan doa selamat. Mawar Annisa’ kini benar-benar milik Khairul Adam. Cinta mereka dibawa ke bumi anbiyaa’. Impian mereka sejak dulu. Cinta mereka juga mekar, semekar sepasang mawar milik mereka. Mawar milik Khairul Adam dan Mawar Annisa’.


"إن كنت عشقة الليل فكأس مشرق بضوء والحب الورق”

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...