Instagram

Thursday, October 15, 2009

Pertembungan dengan BARAT dan INTELEKTUAL kita

Pada waktu ini sudah menjadi suatu langkah yang “fashionable” untuk menyalahkan Barat bagi segala kebobrokan yang kita temui dalam kehidupan masyarakat kita sendiri – dari keruntuhan moral hinggalah kepada kenakalan remaja.

Sebagai peradaban yang dihasilkan oleh masyarakat manusia, sudah pasti peradaban Barat itu tidak sempurna dan murni, dan mempunyai banyak sifat-sifat negatif atau sekurang-kurangnya bercanggah dengan nilai budaya bukan-Barat.

Akan tetapi, sebagai budaya yang menjadi teras beberapa peradaban – dari peradaban Hellenistik hinggalah kepada peradaban moden kontemporari – maka tentulah tidak mungkin peradaban Barat itu terbina atas asas yang jelek semata-mata.

Bukan sedikit pencapaian Barat dalam bidang pemikiran, ilmu pengetahuan, teknologi, kesenian, kesusasteraan dan sebagainya yanng tak dapat tidak harus kita kagumi.

Oleh beberapa hakikat sejarah, peradaban Barat telah sejak lama bertembung dengan dan meninggalkan kesan terhadap budaya-budaya bukan-Barat di seluruh dunia, terutamanya sejak pertengahan dan akhir abad yang kesembilan belas.

Masyarakat-masyarakat Islam di seluruh dunia telah terlibat dalam hubungan budaya yang pelbagai bentuknya dengan Barat sejak beberapa lama.

Dalam hubungan tersebut – yang terjelma dalam bidang perdagangan, kolonialisme, peperangan dan sebagainya – Islam bukan sahaja dipengaruhi tetapi telah bnayak pula memberi dan mempengaruhi. Malah tradisi dan keagungan peradaban Islam itulah yang telah diwarisi dan diteruskan Barat (setelah “kemerosotan” Islam pada abad ke-13 dan ke-14) untuk dijadikan asas bagi perkembangan peradaban moden.

Mulai pertengahan abad ke-19, hubungan Barat dengan bahagian dunia lainnya telah menjadi mantap dalam bentuknya yang tidak seimbang itu.

Barat yang telah melalui revolusi industri itu menguasai teknologi yang lebih maju dan peradaban dunia – dan kedudukan yang superior ini telah dilembagakan dalam bentuk kolonialisme.

Hubungan yang tidak seimbang inilah yang telah mencirikan hubungan Barat dengan masyarakat-masyarakat Islam di seluruh dunia sejak pertengahan abad kesembilan belas itu.

Di mana-mana pertembungan dengan peradaban Barat yang perkasa itu merupakan suatu dilema intelektual bagi masyarakat Islam dalam usaha masyarakat itu memasuki peradaban moden.

Di mana-mana tampaknya masyarakat-masyarakat Islam mengalami krisis intelektual dan keperibadian dalam menentukan sejauh mana unsur-usur daripada peradaban Barat itu dapat diserap atau ditolak tanpa menjejaskan kemurnian ciri keislamannya sendiri.

Pelbagai formula sosial telah berlangsung dalam masyarakat-masyarakat Islam dalam menghadapi dilema tersebut – dengan akibatnya yang berbagai-bagai pula. Ada masyarakat Islam yang menyisihkan dirinya sama sekali daripada arus peradaban Barat itu (misalnya Afghanistan) lalu berundur ke bawah tempurung konservatisme sendiri.

Formula yang demikian hanya berhasil menjadikan masyarakat Islam itu sendiri terlalu lemah sehingga dapat dengan mudahnya ditundukkan oleh kuasa-kuasa ekonomi dan politik Barat.

Selain itu ada pula masyarakat Islam yang membiarkan dirinya terserap sepenuhnya ke dalam arus pembaratan (seperti Turki), dan dalam proses itu kehilangan sebahagian besar ciri-ciri murninya sebagai sebuah masyarakat bukan-Barat.

Dalam sesetengah masyrakat Islam Islam (seperti Iran sebelum revolusi) kita dapati pula kadar pembaratan yang amat berlainan antara kategor-kategori sosial yang berlainan – misalnya satu golongan kecil elit yang bersifat Barat di tengah-tengah majoriti rakyat yang konservatif.

Formula yang demikian juga tampaknya telah menghasilkan krisis sosial yang melemahkan ketahanan masyarakat itu terhadap kuasa-kuasa politik dan ekonomi Barat.

Dalam memasuki era moden dan untuk mengambil tempat yang sewajarnya dalam dunia moden ini, saya kira masyarakat-masyarakat bukan-Barat tidaklah dapat menafikan begitu sahaja kedudukan Barat yang telah ditentukan oleh sejarah dunia.

Yang perlu dilakukan ialah mencapai suatu ketetapan intelektual bagi menentukan unsur-unsur mana daripada peradaban Barat itu yang dapat diserapkan, sehingga tidak menjadi sekadar suatu salinan daripada Barat. Persoalan inilah, umpamanya, yang telah menjadi topik berdebatan yang agak “enlightened” di kalangan para intelektual Indonesia dalam “Polemik Kebudayaan” pada tahun-tahun lima puluhan yang lalu.

Dalam konteks kebangkitan Islam yang sedang berlaku dalam masyarakat kita kini, saya kira terdapat sikap yang tidak begitu sihat terhadap Barat. Tanpa pemahaman yang sewajarnya akan peradaban Barat itu, kita langsung menolak Barat dan menyalahkannya sebagai bertanggungjawab bagi kebobrokan kita sendiri.

Apabila dakwaan-dakwaan itu dibuat tanpa pemahaman yang sewajarnya maka sikap itu lebih merupakan “memfitnah Barat” daripada “menolak Barat.” Hal ini mungkin ada hubungannya dengan bentuk dan ciri kebangkitan Islam yang sedang berlaku dalam masyarakat kita kini.

Amat terasa bahawa “kebangkitan” out berlaku sebahagian besarnya pada peringkat bentuk dan tidak pada intinya – oleh itu begitu banyak diperkatakan tentang hukum dan fikah. Perbincangan yang bersifat falsafah, akidah dan teologi amat terbatas.

Oleh kerana itu, penolakan terhadap Barat itu juga tampaknya berlaku pada peringkat yang dangkal sahaja.

Saya kira penolakan Barat yang dangkal seperti ini tidak ada manfaatnya – malah counterproductive pula – bagi masyarakat kita dan masyarakat Islam umumnya dalam usaha masyarakat-masyarakat itu mengambil tempatnya yang sah dalam dunia moden ini.

Kita seharusnya berusaha meningkatkan visi tentang masa depan masyarakat kita ke pringkat pemikiran yang lebih sofistikated – dan dari perspektif itu membentuk pertimbangan wajar tentang unsur-unsur daripada peradaban Barat yang dapat kita manfaatkan tanpa melenyapkan keperibadian sindiri.


sumber : Blog faidhifahmi

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...